𝑲𝒂𝒓𝒏𝒊𝒗𝒂𝒍 𝑲𝒆𝒔𝒊𝒉𝒂𝒕𝒂𝒏 2023 𝒅𝒊 𝑺𝒆𝒈𝒂𝒎𝒂𝒕 𝒂𝒏𝒋𝒖𝒓𝒂𝒏 𝑰𝑲𝑹𝑨𝑴 𝒏𝒆𝒈𝒆𝒓𝒊 𝑱𝒐𝒉𝒐𝒓 𝒅𝒆𝒏𝒈𝒂𝒏 𝒌𝒆𝒓𝒋𝒂𝒔𝒂𝒎𝒂 𝑷𝒆𝒋𝒂𝒃𝒂𝒕 𝑷𝒂𝒓𝒍𝒊𝒎𝒆𝒏 𝒀𝑩 𝑴𝒆𝒏𝒕𝒆𝒓𝒊 𝑲𝒆𝒔𝒊𝒉𝒂𝒕𝒂𝒏 𝒅𝒂𝒏 𝑷𝒂𝒓𝒍𝒊𝒎𝒆𝒏 𝑺𝒆𝒈𝒂𝒎𝒂𝒕.

Persatuan Optometris Malaysia (AMO) telah berjaya melaksanakan saringan kesihatan mata & penglihatan di Karnival Kesihatan Segamat anjuran NGO IKRAM pada 22 Julai 2023 (Sabtu) lepas bertempat di Dewan Muafakat, Taman Yayasan, Daerah Segamat, Johor dalam usaha pencegahan kebutaan.

Penyertaan AMO dalam Karnival ini adalah sebagai satu usaha untuk menyebarluaskan kesedaran berkenaan peri-penting peranan seorang Optometris selain mengajak masyarakat untuk membezakan dengan lebih baik antara Praktis Optometris dan Kedai Cermin Mata. Tambahan dari itu, AMO juga nekad dalam usaha memerangi masalah kebutaan yang lambat dikesan dan mahu membantu komuniti bagi mengesan masalah mata lebih awal melalui aktiviti saringan penglihatan dan kesihatan mata yang dilakukan.

Bersempena Karnival ini juga, AMO telah berjaya mendapatkan dana untuk menyumbangkan sejumlah 45 pasang cermin mata kepada pelajar-pelajar sekolah yang kurang berkemampuan di sekitar Daerah Segamat, Johor. Dana ini berjaya dikumpulkan melalui sumbangan syarikat pemilik Praktis Optometris tempatan di Segamat iaitu Aini Optometry, Haisah Optometry dan Naimah Optometris.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada ketiga-tiga praktis ini yang sudi meluangkan masa, tenaga dan wang ringgit bagi menjayakannya.
Pihak Persatuan Optometris Malaysia (AMO) juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Vitop Malaysia Sdn Bhd yang telah membantu dalam penyediaan peralatan untuk menjayakan proses saringan mata di Segamat, dan tidak dilupakan kepada sukarelawan dari dua buah Universiti iaitu MSU dan SEGi Universiti, pensyarah dan pelajar serta EXCO Persatuan Optometris Malaysia (AMO), setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka kerana sudi meluangkan masa dan tenaga untuk sama-sama menjayakan saringan mata ini kepada masyarakat Segamat.